Monday, 25 August 2014

Aksi pengantin berjalan separuh bogel gemparkan bandar Ipoh

IPOH: Selepas pesta sukan bogel di Pulau Pinang yang menggemparkan negara, orang ramai di sekitar Jalan Sultan Yussof di bandar raya ini pagi ini dikejutkan dengan pasangan pengantin yang berjalan dalam keadaan separuh bogel.

Aksi mereka mendapat perhatian orang ramai yang ketika itu sedang sibuk melalui jalan berkenaan selepas pasangan pengantin itu dikatakan baru selesai menjalani sesi fotografi.


Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, wanita berkenaan dilihat hanya memakai coli dan seluar dalam berwarna putih dan berkain layah manakala pasangan lelaki hanya memakai seluar panjang hitam tanpa baju.

Gambar pasangan terbabit yang dirakam seorang pengguna Facebook dipercayai diambil di hadapan laluan zebra sebuah bank berhampiran Padang Ipoh di sini dan kini sudah tersebar dan dikongsi ribuan pengguna Facebook lain.

Ketua Polis negeri, Datuk Acryl Sani Abdullah Sani mengesahkan kesalahan yang mencolok mata itu akan disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 iaitu berkelakuan tidak senonoh di khalayak ramai.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Ahmad Termizi Abdul Haq yang dihubungi pula berkata, pihaknya masih belum menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu sebagaimana tersebar di media sosial.

"Arahan juga sudah dikeluarkan kepada Ketua Polis Balai dan anggota, jika terserempak dengan mana-mana perlakuan tidak bermoral dan berakhlak, mereka boleh menggunakan pendekatan menasihati atau meminta perlakuan itu dihentikan serta-merta," katanya.

Sementara itu, seorang saksi yang enggan dikenali berkata, rakaman sesi fotografi itu dipercayai berlangsung kira-kira 10 minit.

"Ia menarik minat pengguna jalan raya yang memberhentikan kenderaan kerana mereka berpakaian tidak senonoh," katanya.-BH

No comments:

Post a Comment