Sunday, 24 August 2014

Artis: Maria Farida Tegur Artis Baru Tidak Berdisiplin

Pelakon jelita yang cukup berpengalaman dalam bidang lakonan, Maria Farida telah menegur beberapa artis baru yang tidak berdisiplin dalam pengurusan masa dan juga perkara-perkara yang lain semasa di lokasi penggambaran.

Dia yang begitu selektif dalam memilih karakter dalam setiap lakonannya memberitahu bahawa dia hanya akan bekerja apabila ‘team’ tersebut pernah bekerja dengannya sebelum ini dan tidak mempunyai masalah dengannya dan juga krew-krew lain di lokasi.



Baginya keselesaan bekerja di lokasi amat penting buat dirinya untuk mengembalikan mood dan penat setelah bekerja seharian.

“Saya agak selektif atau memilih setiap naskhah yang ditawarkan bukan apa saya mahu ianya berkualiti dan juga saya akan lihat siapa pengarah serta pelakon-pelakon yang akan bekerja bersama saya,” katanya yang ketika ditemui di tayangan filem Mamak Cupcakes.

“Sekiranya produksi tersebut bermasalah atau sebelum ini saya telah mempunyai pengalaman yang tidak begitu memuaskan atau tidak berasa selesa, saya akan terus menolaknya secara baik. Kita hendak bekerja dalam suasana yang tenang dan ceria”

Sehubungan dengan itu, Maria Farida juga turut menegur beberapa artis baru yang katanya tidak berdisiplin dalam membabitkan urusan pekerjaan. Baginya masa amat penting dalam sesuatu produksi filem mahupun drama. Turut dikongsinya juga pengalamannya, apabila dia mengangkat begnya dan terus beredar sahaja dari lokasi penggambaran kerana tidak tahan menunggu kerenah sebahagian artis-artis baru ini masih tidak sampai ke lokasi penggambaran.



“Kadang-kadang sebahagian artis baru ini tidak hormat kepada pengurusan masa, adakalanya mereka ini sengaja mengambil kesempatan datang lambat ke lokasi penggambaran dan tidak menghormati krew-krew dan juga artis-artis yang bekerja bersama mereka”

”Jadinya ‘scene’ mereka itu terpaksa ditangguhkan dan ini menjejaskan masa pelakon lain untuk menunggu babak yang seterusnya. Jenis saya pula tidak pandai untuk marah, cuma sudah dua kali saya tidak tahan dan telah mencapai tahap kesabaran, saya hanya mengangkat beg dan terus beredar dari lokasi penggambaran tersebut,” ujarnya. (rtky/hfz)

No comments:

Post a Comment