Sunday, 24 August 2014

MH17: Keluarga Berazam Penuhi Impian Ketua Pramugari MH17

PETALING JAYA: Keluarga ketua pramugari MH17 Dora Shahila Kassim berazam menjadikan impiannya satu kenyataan atau dengan erti kata lain 'meneruskan kehidupan untuk mencapai cita-cita'.

Abang Dora Shahila, Don Shahidan Kassim, 48, berkata impian adiknya ialah memastikan anak tunggalnya Nur Diyana Yazeera, 15, berjaya dalam hidup.

"Nur Diyana sudah saya anggap seperti anak sendiri dan pendidikannya adalah sangat penting untuk Dora Shahila. Keluarga kami akan melakukan yang terbaik untuk menyokong Nur Diyana, sama ada dari segi emosi atau akademik supaya dia boleh membuatkan ibunya berbangga," katanya sebelum menyedekahkan doa untuk Dora Shahila, 47, di tanah perkuburan Bukit Kiara, Sabtu.



Beliau berkata ahli keluarga menyedari bahawa mereka perlu meneruskan kehidupan tetapi mengaku ia adalah sangat sukar, terutama bagi Nur Diyana, ibunya Hasnah Mohd Yusof, 71, dan anak lelakinya yang berusia 22 tahun.

Ketiga-tiga mereka menjalani kaunseling di Hospital Selayang.

Untuk mengatasi rasa sedih kehilangan, ahli keluarga sentiasa berkongsi cerita tentang Dora Shahila.

"Kami duduk bersama dan ketawa mengenang kembali saat-saat indah, percutian dan jenaka, kerana dengan bercakap tentang dirinya, kami rasa seperti dia masih bersama kami. Kenangan bersamanya akan sentiasa dalam ingatan," katanya.

"Kami banyak berdoa dan ia telah banyak membantu kami berdepan saat-saat sukar ini. Kami juga berdoa untuk keluarga MH17 dan MH370 lain."

Beliau berkata hari perkabungan negara mampu memberikan kelegaan kepada ahli keluarga kerana akhirnya Dora Shahila dapat disemadikan dengan sempurna dan selamat.

Perpaduan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia daripada semua lapisan masyarakat yang berkumpul untuk meratapi mangsa sangat menyentuh hati, katanya.

"Keprihatinan dan kasih sayang yang ditunjukkan begitu bermakna dan kami mengucapkan terima kasih kepada anda semua ikhlas dari hati kami," katanya.--mStar

No comments:

Post a Comment