Rozana, 36, berkata, suaminya pernah memberitahu kepadanya sebelum ini perkahwinan mereka di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 telah didaftarkan dan dia terkejut apabila diberitahu tiada sebarang rekod perkahwinan mereka berhubung perkara itu.
"Pada ketika itulah baharu saya mengetahui perkahwinan kami masih belum didaftarkan sepanjang sembilan tahun berkahwin," katanya kepada mStar Online.
Rozana ditemui pada satu sidang media khas yang diadakan di perkarangan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di sini pada Jumaat. Dia turut ditemani oleh dua peguamnya iaitu Majdah Muda dan Rubiah Jaffar.
Terdahulu Awie dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang pada 3 Julai lalu atas tuduhan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya di kediaman mereka di Ukay Bistari, Ukay Perdana, Hulu Kelang pada 2 Jun lalu.Awie bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut yang dibacakan di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu Rozana berkata, sejak kejadian tersebut Awie tidak pernah menghubunginya untuk bercakap mengenai soal perkahwinan atau perceraian sebaliknya terus membuat permohonan untuk mendapatkan hak penjagaan anak-anak mereka.
Jelas Rozana, dia keliru dengan tindakan suaminya itu sedangkan status perkahwinan mereka tidak dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan pengesahan.
"Kami belum pun bercerai dan dia sudah sibuk dengan soal hak penjagaan anak-anak kami sedangkan status perkahwinan pun belum disahkan dan didaftarkan di Malaysia.
"Saya sendiri tidak merebut anak-anak dengan dia tetapi dia yang membuat permohonan malah aduan yang saya lakukan sebelum ini langsung tidak melibatkan mahkamah syariah," jelasnya.
Sementara itu, Rozana berkata, dia akan mempertahankan haknya sebagai seorang ibu terhadap tiga anak-anaknya yang kini di bawah jagaan sementara suaminya.
Jelas Rozana, demi kembali bersatu dengan anak-anaknya dia tidak akan berdiam diri dan akan memastikan haknya sebagai seorang isteri dan ibu terbela di mahkamah. -Mstar
No comments:
Post a Comment