Tambah Ammar, bukan mudah untuk mendapatkan kembali kepercayaan pihak media sepanjang tempoh itu namun dia akur kerana perbuatan itu adalah berpunca daripada sikapnya sendiri.
"Saya sedar tindakan memuat naik status di laman Facebook telah menyebabkan ramai pihak media marah dengan saya biarpun saya telah membuat permohonan maaf secara terbuka tetapi ia memakan masa untuk hubungan itu kembali pulih.
"Empat tahun saya cuba untuk menjernihkan keadaan bagi mendapatkan kembali kepercayaan mereka dan Alhamdulillah hubungan itu semakin menampakkan tanda-tanda positif dan saya berharap ia akan berkekalan selepas ini," katanya kepada mStar Online ketika dihubungi di sini pada Isnin.
Ammar pernah menimbulkan kontroversi selepas dia menulis status mengugut untuk ‘membunuh’ wartawan hiburan dalam akaun Facebook miliknya gara-gara tidak berpuas hati mengenai laporan pergaduhannya dengan Puteri Sarah pada majlis tayangan perdana filem Lu Pikirlah Sendiri The Movie pada 2010.
Ammar yang pernah popular menerusi drama bersiri Tari Tirana pernah bercinta dengan pelakon wanita itu.
Perbuatan itu menyebabkan Ammar diboikot kebanyakan media sehingga memaksa Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) terpaksa mengaturkan sebuah majlis permohonan maaf bagi menjernihkan keadaan.
Ammar berkongsi pengalaman itu apabila diminta pandangannya mengenai sikap penyanyi Shila Amzah memperkecilkan media Melayu yang didakwanya sekadar mengejar cerita sensasi tanpa menyokong kerjaya seninya.
Dalam pada itu, Ammar berkata, sebagai seorang pelakon dia memerlukan pertolongan rakan media untuk memberikan publisiti mengenai projek yang dijayakan agar kerjayanya terus berkembang.
Malah kata Ammar, wartawan dan artis saling memerlukan malah kedua-duanya perlu menjaga hubungan sebaik mungkin.
"Bohonglah kalau saya kata tidak perlukan rakan wartawan untuk menaikkan kerjaya lakonan saya.
"Saya serik dengan tindakan saya sebelum ini namun pada masa sama ia memberikan banyak pengajaran dan mematangkan saya sebagai seorang individu dan pelakon," jelasnya.
Jelas Ammar juga, restu daripada ibu dan bapanya membuatkan dia lebih yakin untuk aktif sebagai pelakon dan berharap akan diberi peluang kedua berbuat demikian.
"Sebelum ini saya akui terkena 'kejutan budaya' dan masih terlalu muda untuk berfikir baik dan buruk sehingga menyebabkan saya banyak melakukan tindakan kurang wajar.
"Atas sebab itu juga keluarga melarang saya bergelar pelakon namun selepas melihat perubahan diri saya yang lebih matang mereka memberi izin untuk saya kembali aktif," katanya.
Tambah Ammar lagi, dia juga tidak malu untuk memulakan kerjayanya dari bawah semula memandangkan bidang lakonan adalah sesuatu yang paling diminatinya sejak dahulu.
Dalam perkembangan lain, Ammar berkata, dia bakal memasuki set penggambaran filem Langit Cinta arahan Osman Ali selain baharu sahaja selesai menjalani sesi uji bakat untuk sebuah drama bersiri terbitan Zeel Productions.
Sumber
No comments:
Post a Comment