Pada 2011, Ameng didakwa bersama-sama isterinya Sabariah Zakaria, 41, bagi pertuduhan pindaan pertama dan kedua. Sabariah yang mengaku tidak bersalah kemudiannya dibebaskan selepas pihak pendakwaan menarik balik kedua-dua pertuduhan terhadapnya.
Bagi pertuduhan pindaan pertama, Ameng dihukum penjara lapan tahun dan 10 sebatan selepas mengaku bersalah memiliki kanabis seberat 105.90 gram dalam sebuah bilik hotel di Jalan Melaka Raya 3, Taman Melaka Raya, Bandar Hilir di sini pada 5.20 petang 1 Februari 2011.
Ameng atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail, 46, menyangkakan kerjayanya sebagai penyanyi sudah berakhir ketika menjalani hukuman tetapi berita berkenaan benar-benar menggembirakannya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 6, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2), Akta yang sama dan dibacakan bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang dari lima tahun dan sebatan tidak kurang dari 10 sebatan.
Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ameng dihukum penjara dua tahun setelah mengaku bersalah pada waktu, tempat dan tarikh yang sama, memiliki dadah methamphetamine (syabu) seberat 0.22 gram.
Dia didakwa mengikut Seksyen 12, Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3), akta yang sama dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.
Bagi satu lagi pertuduhan, Ameng dihukum penjara satu tahun dengan dua tahun pengawasan polis selepas dia mengaku bersalah melakukan pemberian diri sendiri dadah jenis syabu, di pejabat siasatan jenayah narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah di sini, pada 6 petang 1 Februari 2011.
“Lebih setahun saya bermuram kerana tidak dapat menerima ujian yang menimpa diri, tetapi lama kelamaan barulah saya dapat ‘memujuk’ hari selepas aktif dengan pelbagai program pemulihan penjara yang banyak menekankan aspek kerohanian.
“Saya menyertai semua program banduan termasuk pertandingan mencipta puisi, lagu dan nasyid serta sudah beberapa kali memenangi pertandingan itu.
“Bermula dari situlah saya fikir untuk mencipta lagu dan tidak menyangka hasrat itu disambut baik pihak Jabatan Penjara dan rakan artis,” memetik laporan Harian Metro.
Dengan sebuah gitar yang hanya dibenar digunakan dua jam seminggu, dia mula mencari irama yang sesuai di sebalik penjara tempat dia melunaskan hukumannya itu. – MYNEWSHUB.CC
No comments:
Post a Comment